Produk Berstruktur Defi: Lebih Dari Sekadar ETF Kripto
Index Coop merupakan Organisasi Otonomi Terdesentralisasi (DAO) yang bertujuan untuk membina dan menyelaraskan produk-produk brstruktur kripto yang berlandaskan pengurusan aset DeFi (c.t.h. Set Protocol).
Produk-produk berstruktur kripto merupakan sebuah kenderaan pelaburan yang baru di mana ia memanfaatkan kedua-dua token ERC-20 dan dana indeks tradisional. Kedua-duanya kemudian disatukan agar menjadi satu produk yang hybrid. Tawaran hybrid ini boleh digunakan di kesemua ekosistem Defi menjadikan ia satu naik taraf digital pada abad ke-21 daripada struktur ETF tradisional yang dipelopori syarikat-syarikat pengurusan aset seperti Vanguard, Blackrock, State Street, dan banyak lagi.
ETFs merupakan kenderaan-kenderaan pelaburan berkos rendah yang mana ianya berhasrat untuk menjejak apa sahaja daripada nilai harga komoditi hinggalah bakul saham yang pelbagai. Satu contoh yang biasa untuk ETF adalah $SPY, di mana indeks ETF ini menjejak prestasi S&P 500. Produk-produk brstruktur kripto juga sama seperti ETFs. Ini kerana ia menawarkan satu cara berkos rendah untuk melabur di dalam pelbagai aset dan menggunakan pelbagai strategi. Kedua-dua kenderaan pelaburan ini menawarkan cara yang efisien, punya kecairan dan keberkesanan kos, dan mempermudahkan cara untuk melabur. Jika anda berhasrat untuk melabur di dalam indeks atau dengan menggunakan strategi yang khusus (c.t.h. leveraj dedahan pada harga aset), adalah lebih murah untuk membeli indeks ETF atau produk berstruktur kripto seperti $DPI.
Namun demikian, jika anda memiliki produk berstruktur Defi, ada beberapa kelebihan lain yang anda perolehi yang mana tidak mungkin anda dapati daripada ETFs tradisional.
Kelebihan Produk Berstruktur Defi
Kelebihan produk berstruktur Defi, jika ingin dibandingkan dengan produk berstruktur tradisional (c.t.h. ETFs), termasuklah:
Kebolehubahan[1] – Produk-produk berstruktur kripto adalah seperti lego wang[2]. Ianya boleh digunakan untuk membangunkan produk-produk yang baru sepenuhnya.
Kebolehan untuk Margin – Aset kripto boleh digunakan sebagai cagaran apabila memberi atau mengambil pinjaman yang mana pulangannya akan disertai bersama faedah. Produk-produk berstruktur kripto juga boleh digunakan seperti demikian.
Kecairan – Produk-produk berstruktur kripto boleh ditempa atau ditebus untuk mendapatkan konstituen-konstituen sandarannya. Dengan kata lain,unit-unit baru sentiasa boleh dicipta dan apa yang sudah anda miliki sentiasa boleh ditebus.
Kebolehubahan
Produk-produk yang dicipta oleh Index Coop juga merupakan token-token ERC-20. Ini bermakna ianya boleh digunakan bersama atau untuk berbilang protokol di dalam ekosistem Defi. Untuk menekankan lagi kelebihan ini, mari kita lihat dua contoh di mana kebolehubahan in berlaku pada produk $DPI.
Anda Boleh Menggunakan $DPI sebagai Satu Aset di dalam Protokol yang Berlainan
$DPI boleh digunakan sebagai satu aset di protokol-protokol yang lain. Sebagai contoh, baru-baru ini $DPI telah digunakan di dalam PoolTogether, iaitu loteri Defi yang tiada rugi. PoolTogether adalah satu platform di mana pengguna-pengguna boleh melakukan cagaran (yang mana dalam kes ini $DPI telah digunakan) untuk memperolehi peluang memenangi hadiah mingguan yang berupa pulangan faedah yang telah dikumpulkan daripada cagaran-cagaran yang telah terkumpul. Ini berbeza dengan kenderaan tradisional seperti ETF yang hanya boleh dimiliki di dalam akaun broker dan tidak boleh digunakan sebagai satu aset di tempat yang lain.
Anda Boleh Menggunakan $DPI untuk Mencipta Aset-Aset Baru
$DPI boleh digunakan untuk mencipta aset-aset yang baru. Pada masa yang sama, ianya tetap memiliki ciri-ciri pelaburan yang asal. Namun demikian, sebagai satu aset yang baru, ianya juga memiliki kelebihan tambahan seperti penjanaan pendapatan. Satu contoh adalah apabila aset kripto yang dimiliki dikumpulkan bersama dalam satu kumpulan kecairan[3]di dalam satu bursa terdesentralisasi (DEX). Si pemilik $DPI boleh melakukan deposit dengan cara mengumpulkan $DPI bersama satu lagi aset, sebagai contoh, $ETH, di dalam DEX seperti Uniswap. Apabila itu berlaku, DEX tersebut akan memberi kepada si pelaku deposit satu jenis token yang baru, yakni $DPI-$ETH. Token ini akan menjanakan hasil yang lebih dengan cara mendapatkan sebahagian yuran yang dicaj kepada pengguna DEX apabila melakukan perdagangan di antara kedua-dua kripto tersebut. Di dalam kewangan tradisional, adalah mustahil untuk menggunakan ETF seperti ini.
Perlu juga diingat bahawasanya ini cuma dua contoh di antara banyak lagi cara di mana aset kripto boleh digunakan di segenap ekosistem Defi.
Kebolehan untuk Margin
Satu lagi kelebihan produk-produk berstruktur Defi yang tidak dimiliki kenderaan pelaburan tradisional adalah kebolehannya untuk diakses dan kadar faedah yang disediakan apabila berlakunya pemberian dan pengambilan pinjaman aset-aset kripto.
Di dalam kewangan tradisional, untuk menggunakan sekuriti-sekuriti anda sebagai satu cagaran bagi mendapatkan satu pinjaman, seseorang itu seharusnya dahulu mendaftarkan diri untuk margin dengan mengisi borang pendaftaran yang mana maklumat-maklumat peribadi diperlukan. Ini termasuk gaji tahunan, status pekerjaan, nombor keselamatan sosial, dan banyak lagi. Apabila pendaftaran telah diterima, barulah seseorang itu boleh mendapatkan pinjaman dengan kadar faedah setinggi 8.5%.
Defi menukar model ini. Jika anda memiliki satu token ERC-20 seperti $DPI, anda boleh menggunakannya sebagai cagaran di dalam protokol memberi pinjaman seperti Aave atau Cream. Maklumat-maklumat peribadi tidak diperlukan dan pinjaman akan diluluskan dengan serta merta. Kadar faedahnya biasanya lebih baik (namun akan mengalami perubahan yang ketara dari masa ke masa). Sebagai satu rujukan, pada masa penulisan, di Aave, seseorang boleh mengambil pinjaman $DAI (salah satu stablecoins yang amat popular) pada kadar faedah hanya 2.32%.
Kecairan
Produk-produk berstruktur kripto punya kecairan yang amat tinggi. Penempaan dan penebusan akan dilakukan secara automatik dengan menggunakan kontrak bijak. Pada bila-bila masa sahaja seseorang individu itu boleh menempa unit-unit indeks seperti $DPI atau menebus unit-unit $DPI untuk mendapatkan token-token sandarannya. Ini merupakan satu ciri yang mana pemilik ETFs juga boleh dapatkan, namun kebiasaannya hanya dikhususkan untuk pemilik-pemilik yang bertaraf institusi besar. Defi pula menyediakan ciri ini kepada semua pemilik tanpa mengira saiz kedudukan.
Ciri penempaan/penebusan ini juga didatangkan bersama keterlihatan yang tinggi pada komposisi yang ada di dalam portfolio. Nilai aset bersih (NAV) berserta komposisi dana semasa pula telah tersedia ada apabila melakukan perdagangan. Walaupun ETFs juga ada memaparkan informasi ini, tetapi ketelusan padanya telah semakin berkurangan dengan semakin bertambahnya ETFs yang bersikap aktif.
Jika anda berminat untuk membeli produk berstruktur kripto, anda boleh membaca artikel ini dari Index Coop. Anda juga boleh menyertai kami di Discord dan mengutarakan soalan-soalan di benak fikiran anda di bahagian #help!
(Artikel ini merupakan terjemahan daripada artikel asal yang bertajuk: Structured DeFi Products: More than Just a Crypto ETF)
[1] Kebolehubahan atau Composability: Satu konsep Defi yang menyatakan aplikasi-aplikasi dan protokol-protokol boleh berinteraksi di antara satu sama lain tanpa perlu mendapatkan keizinan.
[2] Lego Wang atau Money Legos: Satu konsep Defi yang dimana, disebabkan kebolehubahan, maka protokol-protokol di dalam Defi boleh disusun seperti permainan lego.
[3] Kecairan yang Terkumpul atau Liquidity Pool: Satu konsep Defi di mana aset kripto dikumpulkan lalu dikunci di dalam kontrak bijak (smart contract). Ini supaya ianya dapat memberi kecairan kepada bursa terdesentralisasi (DEX).